Saya berkesempatan untuk pergi ke satu destinasi menarik yang sedang dibangunkan di jajahan Pasir Gudang, Johor. Sarang Buaya Pasir Gudang bakal menjadi salah satu tempat menarik kepada pengunjung setelah ia siap dibina 100% nanti.
Terletak bersebelahan dengan Pelabuhan Tanjung Langsat ,dan berhampiran dengan kawasan pantai Pasir Layar yang juga merupakan salah satu tempat pelancongan di Pasir Gudang. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 30 minit (kalau pandu secara normal 80km/j) dari pusat bandar Pasir Gudang, anda akan disajikan dengan pembangunan kilang-kilang industri berat dan kimia di Johor sebelum anda tiba di Sarang Buaya ini. Cuma sebelum anda sampai ke destinasi, anda akan diperiksa oleh pengawal keselamatan yang bertugas di jalan utama dan diberikan pas lawatan atas tujuan keselamatan.
Sarang Buaya ini diurustadbir oleh Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang masih lagi dalam pembinaan kolam-kolam untuk menempatkan pelbagai spesis buaya dan juga kawasan lanskap sekitarnya. Buat masa ini hanya terdapat lebih kurang 4 kolam dan hanya 3 kolam telah diletakkan beberapa ekor buaya untuk tatapan pengunjung. Saya difahamkan pada ketika ini lebih kurang 30 ekor buaya telahpun diletakkan di sini dan jumlah ini akan bertambah setelah banyak lagi kolam yang sedang dalam proses pembinaan siap kelak.
Harga tiket masuk ke Sarang Buaya Pasir Gudang ini adalah RM8 untuk dewasa dan lebih kurang RM4 (kalau tidak silap) untuk kanak-kanak. Akan tetapi buat masa ini, harga tiket diberikan diskaun iaitu RM4 untuk dewasa, RM3 untuk kanak-kanak dan beberapa lagi kategori pengunjung termasuk pelajar sekolah dan juga IPT.
Memandangkan pembinaan kawasan ini masih dalam 30-40% siap, kawasan tempat letak kenderaan dan juga jalan masuk masih lagi berbatu kerikil dan kabin jualan tiket juga masih belum sempurna. Mungkin setelah ia siap kawasan ini akan menjadi tumpuan selain Taman Buaya Melaka (tak termasuk kolam buaya Sungai Rengit, Kota Tinggi)
Bagi mereka yang mempunyai tele-photo lens. macro lens yang baik dan juga hebat, silalah berkunjung ke sana untuk dapatkan 'shots' yang terbaik kerana kita kan berada 'dekat' dengan 'silent killer' ini.
p/s: Gambar entry sebelum ini tak sharp sangat pasal kamera kompak guna maximum zoom ada goyang sikit walaupun guna IS (image stabilizer). Lagi satu, takut tangan kena sambar dari bawah sebab masatu memang masa makan encik Boya nih...